Gaji minimum: Kerajaan perlu tingkat penguatkuasaan elak harga naik mendadak - Afzanizam
Ridauddin Daud
Mac 20, 2022 15:57 MYT
Mac 20, 2022 15:57 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan tiada aktiviti perniagaan tidak sihat seperti menaikkan harga barang selepas gaji minimum RM1,500 dilaksanakan bermula 1 Mei 2022.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pemberian subsidi juga harus diteruskan agar harga barangan dapat dikekalkan pada kadar yang stabil.
Jelasnya, kuasa membeli pasti akan meningkat susulan pengumuman tersebut dan kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam mengawal semuanya agar kenaikan harga mendadak tidak berlaku.
“Dari segi peranan pekerja pula, saya kira dengan adanya peningkatan gaji minimum dan sebagainya, aspek literasi kewangan seperti amalan berdisiplin dalam urusan kewangan perlu diberi perhatian.
“Ini antara perkara yang perlu kita tekankan supaya tidak berlaku pembaziran, tidak berlaku pengambilan aktiviti risiko pelaburan yang melampau dan sebagainya.
“Saya kira beberapa aspek perlu dilihat terutamanya dalam mengharungi cabaran ekonomi sekarang,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Tambahnya, kerajaan sebenarnya mengambil jalan tengah dalam pengumuman itu susulan memutuskan pelaksanaan itu hanya terpakai kepada syarikat besar dan ia dilakukan setelah mengambil kira ekonomi semasa negara.
Astro AWANI pada Sabtu melaporkan kerajaan akan melaksanakan kadar gaji minimum berjumlah RM1,500 bermula Mei tahun ini.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 petang semalam.
Menurutnya lagi, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam sebelum keputusan perlaksanaannya diputuskan oleh kerajaan.
Katanya, ia telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesannya terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).