Gaji minimum kekal, diperkukuh gaji progresif - Rafizi
Afiezy Azaman
Disember 4, 2023 09:10 MYT
Disember 4, 2023 09:10 MYT
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli menafikan membuat pusingan-U mengenai gaji minimum RM1,500 yang telah dikuatkuasakan pada tahun lepas.
Sebaliknya, Menteri Ekonomi itu berkata, pelaksanaan gaji minimum kekal wajib dilaksanakan dan akan diperkasakan dengan gaji progresif untuk pekerja separuh mahir dan berkemahiran tinggi.
Beliau menjawab ciapan daripada pengguna media sosial X yang memetik laporan akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa, 'Tiada arahan mandatori gaji minimum buat masa ini'.
"Ini telah disalah lapor, gaji minimum kekal dan akan diperkukuh dengan gaji progresif untuk pekerja separuh mahir dan berkemahiran tinggi," kata Rafizi ringkas di laman X, pada Isnin.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 berkuat kuasa sejak 1 Mei tahun lalu dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan.
Minggu lalu, Rafizi membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif, dalam usaha memastikan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.
Ia mengandungi tiga mekanisme utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan dan tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.