Gaji minimum: Jangan lihat sebagai kos, hubungan majikan dan pekerja perlu matang

Madiha Abdullah
Mac 24, 2022 17:45 MYT
PM Ismail Sabri baru-baru ini mengumumkan gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 perlu dilihat sebagai nilai tambah pada ketika Malaysia menuju ke arah matlamat negara berpendapatan tinggi.
Fellow Angkasa-UMK Academy (AURA) Profesor Balakrishnan Parasuraman berkata pelaksanaan itu akan membantu merencanakan ekonomi mengikut hala tujunya, selain memberi motivasi kepada para pekerja.
"Kita perlu lihat banyak faktor seperti ekonomi, kadar pengangguran, inflasi, kemiskinan dan banyak lagi. Ada formula sebelum hal ini dilaksanakan, bukan saja-saja dibuat. Kita ada badan bertanggungjawab iaitu Majlis Perundingan Gaji Negara yang sudah buat kajian mendalam sebelum kemuka kadar baharu.
"Hal ini sudah melalui tiga pihak, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kerajaan. Dan ia juga bukan satu bentuk kejutan kerana hal ini sudah dibangkitkan sejak 2012, malah kita tahu setiap dua tahun, gaji minimum akan dikaji semula," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Khamis.
Jelasnya lagi, gaji minimum harus dilihat sebagai satu bentuk insentif kepada pekerja dan membabitkan kematangan hubungan antara majikan dan pekerja.
"Pasca-COVID-19, memang banyak syarikat sedang memperbaiki bisnes tetapi pekerja juga berhak dapat gaji setimpal.
"Majikan fikir pasal kos, pekerja pula fikir kebajikan mereka. Di sinilah perlunya ada rasa hormat, dan melihat sumber manusia itu sebagai aset penting.
"Pekerja juga kena lihat gaji itu sebagai tanggungjawab, rezeki yang diterima hasil sumbangan kepada syarikat. Dalam agama juga ada ajar perkara ini," katanya lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.
Nasib Pekerja | Tingkatkan jumlah syarikat sertai gaji minimum
#gaji minimum #ismail sabri yaakob #ekonomi #Balakrishnan Parasuraman
;