Gaji minimum ditentukan selepas bincang dengan pelbagai pihak - Saravanan
Bernama
Februari 12, 2022 17:38 MYT
Februari 12, 2022 17:38 MYT
NILAI: Penetapan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan diambil selepas perbincangan dengan pelbagai pihak dan bukan suatu tindakan melulu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Beliau berkata penetapan gaji minimum juga membabitkan perbincangan dengan Majlis Perundingan Gaji Negara dan perlu dipersetujui oleh Perdana Menteri serta Jemaah Menteri.
"Pada masa ini, kita lihat kadar gaji swasta lebih rendah daripada gaji di jabatan kerajaan dan sewajarnya ia dinaikkan.
"Kelembapan ekonomi tidak harus dijadikan alasan kerana kita perlu perbanyakkan aliran tunai untuk memulihkan ekonomi dan menjaga nasib rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Persekutuan Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia Zon di sini hari ini.
Saravanan juga berkata dalam tempoh tiga tahun ini, kadar gaji minimum tidak dilaksana dan kementeriannya bukan secara tiba-tiba membuat keputusan sebaliknya ia berdasarkan aspirasi rakyat.
"Dalam keadaan sekarang, kita perlu memperbanyak aliran tunai di peringkat bawahan supaya ekonomi kembali pulih.
"Sebagai menteri, saya bersetuju dengan pandangan ini dan sudah sampai masanya negara kita melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500... keputusan ini akan ditentukan oleh Kabinet," katanya.
-- BERNAMA