Gaji minimum dalam kajian, bakal diumum tahun depan - Timbalan Menteri
Astro Awani
November 8, 2021 18:34 MYT
November 8, 2021 18:34 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan Perintah Gaji Minimum pada tahun depan selepas kajian mengenainya selesai akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pada ketika ini kerajaan masih menjalankan kajian mengenai gaji minimum yang dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.
"Kajian semula gaji minimum ini adalah selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang mana ia perlu dikaji sekali dalam dua tahun.
"Ini kita tidak boleh ubah, kalau kita mahu ubah kena buat melalui Parlimen, ia bukan setahun sekali seperti Yang Berhormat Muar katakan tadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai semakan gaji minimum di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.