Gajah ragut dua nyawa di Pos Betau, Senderut ditangkap dan dipindahkan

Amirah Nordin
Februari 18, 2023 12:15 MYT
Gajah dipindahkan oleh anggota UTG, PKGK Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang. - Foto Perhilitan
LIPIS: Sejumlah 26 anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang Pahang berjaya memindahkan seekor gajah dianggarkan berusia 44 tahun ke habitat asal dan mempunyai sumber makanan yang banyak, semalam.
Operasi memindah gajah tersebut ke lokasi yang jauh daripada penempatan manusia turut disertai kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, gajah seberat kira-kira tiga tan itu telah ditangkap Selasa lalu, selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa haiwan terbabit masuk ke kawasan penempatan dan kebun mereka.
"Operasi pemindahan haiwan itu mengambil masa kira-kira 4 jam, kakitangan terpaksa menarik gajah tersebut kira-kira satu kilometer ke tempat menaiki lori dan perjalanan keluar pula melalui jalan balak sejauh kira-kira lapan kilometer.
“Gajah tersebut dipercayai terpisah daripada kumpulannya yang menghuni di Hutan Simpan Ulu Jelai dipercayai antara kumpulan yang menceroboh kebun dan mengancam keselamatan masyarakat Orang Asli di beberapa penempatan penduduk setempat sebelum ini,” katanya hari ini.
Katanya, menangkap dan memindahkan gajah jantan itu dilakukan susulan kejadian serangan haiwan itu terhadap penduduk Orang Asli di Pos Betau dan Pos Senderut sebelum ini yang mengorbankan dua nyawa.
"Menangkap dan memindahkan haiwan terbabit akan terus dilakukan sekiranya kumpulan gajah berkenaan terus mengancam keselamatan penduduk Orang Asli yang sentiasa berada dalam kebimbangan sejak akhir tahun lalu.
“Serangan gajah yang berlaku 7 Disember telah meragut nyawa seorang wanita Orang Asli di Kampung Simoi Baru dan pada 9 Januari mengakibatkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut akibat dipijak gajah liar di Kampung Tual, Pos Senderut,” katanya.
Katanya, dua gajah denak, Kasturi dan Rambai digunakan untuk memujuk dan menarik gajah liar berkenaan ke atas lori.
caption.....
#gajah #Perhilitan #Orang Asli #PKGK
;