Penduduk Gerik digemparkan dengan penemuan bangkai gajah betina dewasa berhampiran sebuah kem tentera di Tasik Banding, awal pagi semalam.

Menurut penduduk, haiwan itu dikatakan mengamuk dengan memecahkan beberapa binaan di situ sebelum maut terkena renjatan elektrik.

Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin mengesahkan kejadian itu.

"Pihak kami kemudiannya mengawal tempat kejadian bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku selain menjaga bangkai gajah itu.

"Pada waktu itu, TNB telah mematikan arus elektrik yang dikatakan punca kematian haiwan itu. Beratnya pula dianggarkan dua tan dengan saiz tapak kaki 14 inci," katanya.

Pihak Perhilitan mengawal tempat kejadian sambil menjaga bangkai gajah itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa memaklumkan haiwan itu dikatakan merempuh pagar di Dataran Juang berhampiran kem itu.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan pagar itu runtuh manakala haiwan itu turut memusnahkan penempatan pekerja warga asing di situ.

“Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.00 pagi di mana seekor gajah telah merempuh pagar di dataran itu.

“Selepas rempuh, gajah tersebut mati disebabkan terkena renjatan elektrik di kawasan kontena (penempatan warga asing) itu.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan terhadap anggota tentera atau orang awam dalam kes ini,” katanya.