Gajah mati di Lahad Datu dipercayai akibat keracunan

Bernama
Disember 10, 2019 17:11 MYT
Terdapat beberapa kesan tapak kaki gajah lain, yang dipercayai kumpulan gajah betina yang mati itu, mengelilingi bangkai itu seolah-olah melindungi gajah betina berkenaan. - Gambar fail
Bangkai gajah yang ditemukan di sebuah ladang sawit di Kampung Perpaduan Skim Begahak, Jalan Tungku dekat Bakapit pagi Isnin, dipercayai mati akibat keracunan.
Pegawai Hidupan Liar Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata sepasukan pegawai veterinar daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah diketuai Dr Bong Ai Yin telah melakukan bedah siasat ke atas bangkai gajah betina itu kira-kira pukul 9 pagi tadi, dan beberapa sampel telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
"Gajah itu dianggarkan berumur 20-25 tahun dan dipercayai mati antara enam hingga lapan jam, sebelum ditemukan pekerja ladang kira-kira 7.30 pagi.
"Terdapat beberapa kesan tapak kaki gajah lain, yang dipercayai kumpulan gajah betina yang mati itu, mengelilingi bangkai itu seolah-olah melindungi gajah betina berkenaan," katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di sini pada Selasa.
Sylvester turut memberitahu pasukan veterinar juga melaporkan terdengar bunyi sekumpulan gajah dari jauh, ketika bedah siasat dijalankan.
Penemuan bangkai gajah itu merupakan yang kelima dalam tempoh kurang empat bulan, selepas seekor ditemukan di Kalabakan, Tawau pada 25 Sept, seekor di Beluran pada 19 Okt, dan dua ekor di Kinabatangan masing-masing pada 3 dan 16 Nov.
-- BERNAMA
#bakapit #Borneo #gajah mati #Sabah
;