Gajah masuk kebun: Pekebun dinasihat bina parit, pagar elektrik

Bernama
Februari 24, 2023 14:41 MYT
Tangkapan gajah liar yang memasuki kebun bukan penyelesaian jangka panjang, memandangkan kawasan itu berhampiran dengan hutan simpan kekal (HSK) Jentiang dan Ulu Temiang.
KUALA KRAI: Para pekebun di sini dinasihatkan untuk mengambil langkah lebih efektif seperti pembinaan parit atau pagar elektrik gajah (SPEG) bagi mengurangkan gangguan haiwan liar khususnya gajah.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Hafid Rohani berkata tangkapan gajah liar yang memasuki kebun bukan penyelesaian jangka panjang, memandangkan kawasan itu berhampiran dengan hutan simpan kekal (HSK) Jentiang dan Ulu Temiang.
"Dianggarkan populasi gajah liar yang berada di kedua-dua HSK itu melebihi daripada 20 ekor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lepas, Perhilitan Kelantan telah menangkap seekor gajah jantan yang memasuki kebun di Kampung Kuantan, Pahi, di sini.
"Tangkapan gajah liar itu sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan penduduk di kawasan kampung tersebut sekali gus dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda," katanya.
Hafid berkata operasi pemindahan dan pelepasan gajah itu ke habitat yang lebih sesuai dan selamat dilakukan hari ini dengan dibantu dua ekor gajah denak (Abot dan Sanum) serta 12 orang kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
-- BERNAMA
#Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara #pakar elektrik gajah #SPEG #Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negaraara
;