Gajah liar sesat berjaya dipindahkan ke habitat asal

Nur Fazlizai Ali
Oktober 21, 2021 07:20 MYT
Gajah yang dianggarkan seberat 2 tan itu dipindahkan pada Khamis.
KUALA NERUS: Seekor gajah betina liar yang menceroboh kediaman penduduk di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit pada Selasa lalu berjaya dipindahkan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, gajah yang dianggarkan seberat 2 tan itu dipindahkan pada Khamis.
Katanya operasi pemindahan gajah itu ke habitat asalnya mengambil masa kira-kira 7 jam.
Pihaknya juga turut memberi rawatan susulan beberapa luka yang dialami haiwan tersebut.
"Secara keseluruhan kita berjaya memindahkan gajah berkenaan ke habitat asalnya.
"Kita juga telah memberi rawatan kepada haiwan tersebut," katanya.
Beliau berkata proses pemindahan gajah itu dibantu dua gajah denak bernama Suria dan Kala yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka bagi tujuan ‘memujuk’.
Katanya, seramai 14 kekuatan daripada Perhilitan Terengganu dan PKGK Sungai Deka terlibat dalam operasi pemindahan gajah liar tersebut.
Beliau berkata, gajah berusia 10 tahun itu dipercayai haiwan yang sama berkeliaran di Sungai Tarom, Setiu pada Sabtu lalu dan dikesan memasuki kawasan kampung berkenaan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan seorang warga emas cemas melihat seekor gajah berada di hadapan rumahnya di Kampung Pengkalan Atap Batu Rakit, Kuala Nerus.
BACA: Perhilitan tangkap gajah liar masuk kampung
Wook Umat, 82, yang baharu selesai menunaikan solat subuh kira-kira jam 6.20 pagi Selasa terkejut selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.
#gajah #kampung pengkalan atap #Perhilitan #habitat asal
;