Gajah liar seberat dua tan dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum
Abd Razak Mohd Ali
Februari 17, 2020 17:22 MYT
Februari 17, 2020 17:22 MYT
Jabatan Perhilitan Perak berjaya memindahkan seekor gajah liar seberat dua tan (2,000 kilogram) ke habitat asal di Hutan Simpan Royal Belum pada Isnin.
Operasi pemindahan dari Kampung Perah di sini, dibantu dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, seramai 20 kakitangan Perhilitan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) terlibat dalam kerja-kerja pemindahan itu.
Menurutnya, gajah yang dianggarkan berusia 20 tahun itu ditangkap di Kampung Perah, di sini, pada Khamis lalu.
“Operasi penangkapan telah bermula sejak Rabu lalu yang melibatkan sembilan kakitangan Unit Tangkapan Gajah Negeri Perak (UTGP),” katanya.
Yusoff memberitahu, aduan pertama gangguan gajah itu diterima pada 1 Februari lalu setelah ia dikesan merosakkan tanaman pisang dan getah penduduk kampung.
“Melalui siasatan yang dijalankan, gajah ini merupakan gajah jantan tunggal yang sering dilaporkan merosakkan tanaman penduduk kampung berkenaan.
“Gajah ini menjadikan Hutan Simpan Air Chepam sebagai kawasan keliaran dan telah turun ke kawasan kampung untuk mencari makan,” ujarnya.
Katanya, gajah itu yang kemudiannya dinamakan Awang Perah adalah gajah pertama yang ditangkap UTGP tahun ini.