Gajah liar: Perhilitan Perak terima lebih 40 aduan tahun ini
Bernama
Ogos 27, 2022 20:31 MYT
Ogos 27, 2022 20:31 MYT
IPOH: Sebanyak 47 aduan diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berkaitan pelbagai isu membabitkan gajah liar di sekitar kawasan Gerik pada tahun ini.
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata semua aduan telah diterima dan tindakan telah diambil secepat mungkin sama ada dengan menghalau atau membuat tangkapan bagi membendung isu berkenaan.
"Kami (Perhilitan) amat prihatin dengn setiap laporan dan aduan yang diterima, pihak kami akan terus ke lokasi aduan dan membuat tindakan segera. Setakat ini kita menerima 47 aduan di negeri ini dan dua kes yang melibatkan kecederaan iaitu di Kampung Katong Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar dan berhampiran Lebuh raya Gerik.
"Perkara ini tidak boleh dielakkan kerana habitatnya memang di dalam hutan. Kita mempunyai kumpulan berkaitan isu gajah di Perak, Johor dan banyak lagi. Jadi kita akan panggil semua ahli untuk selesaikan isu ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berendoi Anak Badak Air Jiwang dan Juwita di Lost World of Tambun di bawah kendalian Sunway Theme Park sini hari ini.
Menurut Abdul Kadir, penduduk diminta agar tidak mengambil tindakan sendiri dan segera membuat laporan ke Perhilitan kerana ia boleh mengancam nyawa dan keselamatan diri.
Menurut laporan 18 Ogos lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata Kerajaan Negeri Perak sedang mempertimbangkan penggunaan sistem pagar elektrik dan penggera amaran bagi menyelesaikan konflik manusia dan gajah di beberapa kawasan di negeri ini.
Cadangan itu antara lain bagi memasang Sistem Pagar Elektrik sepanjang 14 kilometer (km) di RPS Kemar, Gerik menelan kos hampir RM1 juta dan setakat ini sistem berkenaan telah pun dipasang di Sekolah Kebangsaan RPS Kemar dan ia berkesan menghalang gajah masuk ke dalam kawasan sekolah itu.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sunway Theme Park Calvin Ho berkata majlis hari ini bagi menyambut Jaguh, anak pertama pasangan badak air Jiwang dan Juwita, yang dilahirkan pada 18 Jun lepas.
"Seperti manusia, badak air juga memerlukan tempoh berpantang, pada masa ini Jiwang telah dipisahkan buat sementara waktu sehingga tempoh 'suai kenal' Juwita bersama anaknya tamat. Ini juga bagi melindungi Jaguh daripada dicederakan Jiwang, kerana dia mampu mencederakan anaknya sendiri ketika fasa ini," katanya.
-- BERNAMA