Gajah liar mengganas musnahkan ladang, penduduk dakwa rugi setengah juta
Bernama
Julai 4, 2020 04:32 MYT
Julai 4, 2020 04:32 MYT
Seekor gajah jantan liar yang berkeliaran di kawasan hutan berhampiran Kampung Kala Baharu di Gua Musang, menjadi punca penduduk kerugian lebih RM500,000.
Gajah itu yang agresif sejak tiga bulan lepas memusnahkan banyak pokok dan anak pokok sawit serta getah di ladang seluas 40 hektar yang diusahakan sekumpulan 20 penduduk sejak lima tahun lalu.
Abdullah Stapa, 37, berkata mereka melabur sebanyak ratusan ribu ringgit bagi membuka ladang itu dan dijangka menikmati hasilnya tahun depan.
Bagaimanapun, mereka kecewa apabila banyak pokok getah dan sawit di kawasan itu musnah akibat diserang gajah berkenaan hampir setiap malam.
"Tidak banyak gajah yang ditemui, hanya seekor gajah jantan tetapi ganas. Ia memakan kulit pokok getah hingga pokok itu rosak dan hanya menunggu mati," katanya ketika ditemui di ladangnya di sini.
Abdullah berkata pelbagai usaha dilakukan penduduk bagi menghalau gajah terbabit termasuk memasang pagar dawai elektrik, namun tidak memberi kesan kepada haiwan itu.
Seorang lagi penduduk, Zakaria Setapa, 37, pula sudah buntu memikirkan keadaan yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila mendapati hanya tinggal beberapa batang pokok sawit yang masih elok.
"Saya menggunakan duit simpanan untuk modal membuka ladang dan berharap dapat kembali hasil ladang dan boleh menyimpan semula," katanya.
Justeru, mereka meminta pihak berkuasa termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak segera menangkap gajah itu bagi mengelakkan pokok getah dan sawit yang masih elok dimusnahkan sepenuhnya haiwan berkenaan.
Tinjauan Bernama ke kawasan itu mendapati kebanyakan penduduk bimbang untuk masuk ke kawasan ladang setelah seorang penduduk terserempak dengan gajah liar terbabit yang sedang merosakkan pokok sawit beberapa hari lalu.
-- BERNAMA
#gajah
#ganas
#Gua Musang
#halau gajah
#hidupan liar
#Kampung Kala Baharu
#kelapa sawit
#ladang
#musnah
#pagar dawai elektrik
#pelaburan
#Perhilitan
#pokok
#rugi
#sawit