Gajah liar ‘mengamuk’ di Gua Musang, lebih 400 Orang Asli hidup dalam kebimbangan

Muhafandi Muhamad
Januari 11, 2025 09:30 MYT
Imej gajah liar di kawasan kebun di Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan, yang sempat dirakamkan jurugambar.
GUA MUSANG: Lebih 400 penduduk Orang Asli hidup dalam keresahan dengan kemunculan sekumpulan gajah liar yang mengamuk memusnahkan enam buah rumah buluh di kawasan kebun di Kampung Mendrod, Pos Brooke, di sini.
Sejak Ahad lalu, pada waktu malam dan awal pagi, gajah liar berkenaan akan ke kawasan rumah buluh penduduk sebelum merobohkan dinding untuk mencari makanan.
Selain itu, hasil tanaman seperti ubi kayu dan pisang turut dimusnahkan haiwan itu.
Menurut penduduk Kampung Mendrod, ancaman sekumpulan lapan ekor gajah liar itu bukan masalah baru apabila kebun serta kampung mereka sering dikunjungi haiwan itu sejak tujuh tahun lalu.
Seorang daripada penduduk Kampung Mendrod, Sarudin Johari berkata, isu gajah liar mengamuk telah berlaku di kampung berkenaan sejak tahun 2018 lagi.
Bahkan, kata Sarudin, sudah banyak kali juga penduduk membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), namun, semuanya tidak menemui sebarang penyelesaian.
“Ini serangan paling terburuk, paling agresif sejak 2018. Sebelum ini gajah datang musnahkan tanaman saja tapi kali ni agak agresif memusnahkan beberapa buah rumah dan merosakkan tanaman yang agak teruk dari sebelum ini,” kata Sarudin.
Susulan bimbang dengan keselamatan nyawa, penduduk kampung juga, jelasnya, telah membuat laporan kepada pihak Perhilitan dan polis untuk tindakan selanjutnya pada Khamis.
“Saya ingin pihak berwajib tolong ambil haiwan ini… jangan tunggu lama sampai masalah kita. Bukan senang nyawa kita bertaruh dengan dia.
“Mana tahu anak kita berjalan gajah ikut belakang. Nanti masalah dengan anak-anak kita. Kita duduk kat kebun ni sebab ada tanaman kita,” kongsi Rama Ajom pula.
Dalam perkembangan sama, Penghulu Kampung Mendrod, Alang Busu mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk meninjau semula persekitaran kawasan berkenaan untuk mengenal pasti kenapa gajah-gajah sedemikian bertindak liar.
“Kemungkinan sekarang disebabkan kawasan kita. Dulu semak samun sekarang ini ‘botak.’ Jadi, mungkin gajah terfikir bagaimana mahu cari makan dan tiba kat tempat (kampung) kita ini. Penerokaan hutan paling utama sekali… makin nipis.
“Gajah pun nak cari makan. Gajah paling minat ubi... tambah-tambah musim durian kita tak boleh duduk sini. Siang hari di sini malam balik rumah,” kata Alang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan yang dibuat penduduk Orang Asli dan menyerahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya.
#gajah mengamuk #gajah liar #Kampung Mendrod Pos Brooke #Gua Musang
;