Gajah liar masuk Kampung Seri Bayas dipindah

Nur Fazlizai Ali
Mei 11, 2023 09:15 MYT
Dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka digunakan dalam operasi berkenaan bagi tujuan memujuk. - Astro AWANI
SETIU: Seekor gajah liar yang merosakkan merosakan tanaman penduduk di Kampung Seri Bayas, Setiu berjaya dipindahkan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata gajah jantan yang berusia 15 tahun itu dipindahkan ke Taman Negara Terengganu pada Rabu.
Katanya pihaknya mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memindahkan gajah liar seberat 1.5 tan itu.
Jelasnya dua ekor gajah denak yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka turut digunakan dalam operasi berkenaan bagi tujuan ‘memujuk’.
Sebelum itu gajah berkenaan berjaya ditangkap di kawasan kebun penduduk kira-kira jam 11 pagi Isnin.
Pada Ahad Astro AWANI melaporkan pekebun di Kampung Seri Bayas, Setiu resah dengan kehadiran gajah liar yang menyerang tanaman mereka.
Meskipun pelbagai usaha dilakukan namun haiwan liar berkenaan tetap memasuki kawasan kebun mereka.
#gajah liar #Perhilitan #Taman Negara #PKGK
;