Gajah liar ceroboh tanaman, dekati kediaman ancam keselamatan penduduk

Adie Sufian Zulkefli
Januari 31, 2023 12:55 MYT
Kawanan gajah yang dirakam menghampiri rumah penduduk dan merosakkan tanaman pisang dan kelapa. -Astro AWANI
SIK: Penduduk Kampung Landai, Mukim Sok, di sini, bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang sering menceroboh tanaman dan mendekati kediaman penduduk sejak seminggu lalu.
Ahmad Ad, 51, berkata dia melihat enam ekor gajah dewasa serta dua ekor dipercayai anak sering berkeliaran di kawasan hutan.
Namun paling membimbangkan apabila kawanan gajah ini semakin menghampiri rumahnya.
“Saya pernah terserempak dengan dua ekor gajah dewasa, dua lagi masih muda, seekor anak yang sudah besar dan seekor lagi anak yang mungkin baharu dilahirkan berkeliaran di sekitar rumah.
“Dua daripadanya kelihatan kurus sehingga ternampak bekas-bekas tulangnya dan berkemungkinan gajah itu tidak cukup makanan di dalam hutan.
“Awalnya gajah-gajah itu menceroboh kawasan tanaman pisang dan pokok kelapa yang ditanam di tepi rumah.
"Saya jadi takut kerana jarak rumah dengan kebun hanya 300 meter," katanya.
Menurut Ahmad, gajah-gajah itu merosakkan tanaman dengan mematahkan pokok dan makan umbut pisang dan umbut kelapa.
Kata Ahmad lagi, berkemungkinan kawanan gajah ini datangnya dari Hutan Ulu Muda yang keluar dari kawasan habitatnya untuk mencari sumber makanan.
Dia juga tidak menolak kemungkinan habitat asalnya telah terganggu kesan daripada aktiviti pembalakan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu sehingga sekarang.
Ahmad yang tinggal bersama isteri Normazah Shamsudin, 51, dan dua anak perempuan bimbang kerana kebiasaannya gajah yang mempunyai anak kecil agak agresif apabila terancam.
“Saya khuatir gajah-gajah itu semakin menghampiri rumah kerana saya sering tinggalkan isteri dan anak-anak untuk keluar ke hutan untuk mencari hasil hutan seperti rotan, kayu dan sebagainya... bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," ujar Ahmad.
Menurut seorang lagi penduduk Yob Yaacob, 68, selama 20 tahun mendiami rumah di kawasan ini, tidak pernah sekalipun gajah muncul sehingga ke muka pintu rumahnya dua hari lepas.
"Saya terkejut apabila anak menghubungi mengatakan gajah telah menghampiri belakang rumah kami, bimbang sekiranya ia mengamuk yang mungkin mendatangkan bahaya kepada nyawa dan kerosakan harta benda kami.
"Kawanan gajah itu menghampiri pintu dapur rumah dan memakan pisang yang saya tanam serta membuang najisnya di situ," jelas Yob.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Hassan Zakaria, berkata dia telah menghubungi Jabatan Perhilitan dan telah datang ke kawasan gajah-gajah yang sering muncul itu dan bertindak dengan cara menghalaunya semula ke hutan.
"Kami bimbang cara menghalau ini tidak begitu berkesan kerana gajah-gajah itu akan datang semula ke kawasan penempatan penduduk.
"Tambahan pula gajah-gajah itu mempunyai anak yang baharu dilahirkan dan memerlukan sumber makanan yang banyak.
"Saya harap pihak Perhilitan mengambil inisiatif yang terbaik bagi mengatasi masalah kawanan gajah ini, bimbang berlaku kecederaan atau pun kehilangan nyawa penduduk kampung," kata Hassan.
#Perhilitan #gajah liar #Kampung Landai Mukim Sok #dekati kediaman penduduk
;