Gajah liar ceroboh kebun pisang
Muhafandi Muhamad
Julai 20, 2022 10:50 MYT
Julai 20, 2022 10:50 MYT
GUA MUSANG: Lebih 100 pekebun di Jalan Subong, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan mendakwa perlu menanggung kerugian RM300,000 akibat serangan gajah liar yang kerap berulang di kebun mereka sejak tiga tahun lalu.
Sejak lebih sebulan lalu, seekor gajah liar jantan dipercayai kembali menceroboh dan merosakkan tanaman pisang di kebun mereka.
Pada Isnin, beberapa pekebun telah melihat dan sempat merakam video gajah berkenaan yang sedang memusnahkan tanaman pisang.
Menurut pekebun Ismail Awang Hamad, setiap pekebun mempunyai 2.4 hektar tanah dan menanam pelbagai tanaman seperti pisang, getah serta kelapa sawit sejak lebih 30 tahun lalu.
"Kerugian yang perlu ditanggung petani memang banyaklah dan tiada siapa yang akan menanggung kerugian itu termasuk jabatan kerajaan sendiri.
"Saya ingat mesti ada peruntukan baharu yang perlu diubah oleh pihak Jabatan Perhilitan terutamanya supaya kita pun sayang kepada hidupan liar yang pupus dan kita juga sayang kepada kebun kita kerana usaha kita yang lama untuk mengusahakan kebun ini musnah begitu saja," katanya.
Tambah mereka, laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap tindakan segera dapat diambil kerana lebih 100 pokok pisang dan kelapa sawit telah dimusnahkan gajah liar berkenaan.