Gajah liar berjaya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum
Nur Fazlizai Ali
Jun 27, 2021 10:20 MYT
Jun 27, 2021 10:20 MYT
SETIU: Seekor gajah liar seberat 2,000 kilogram yang ditangkap di Kampung Ulu Seladang, Setiu berjaya dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke Hutan Simpan Royal Belum, Perak.
Gajah jantan berusia 16 tahun itu dikesan pada Rabu lalu dan ditangkap pada keesokkan harinya sebelum dibawa ke hutan simpan pada Sabtu.
Menurut Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, pihaknya mengambil masa kira-kira 7 jam bagi mengeluarkan gajah berkenaan dari kawasan kebun penduduk.
Katanya proses pemindahan gajah jantan itu dibantu dua gajah denak bernama ‘Suria’ dan ‘Kala’ yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) bagi tujuan ‘memujuk’.
Jelasnya selain jalan berbukit, laluan yang licin sepanjang enam kilometer akibat hujan juga antara cabaran terpaksa ditempuhi mereka untuk proses memindahkan gajah pada kali ini.
"Kita mula menarik gajah berkenaan pada jam 8 pagi dan sehingga jam 3 petang jarak lebih kurang 300 meter.
"Kawasan berkenaan agak berbukit menyebabkan operasi memindahkan gajah berkenaan agak sukar.
"Akhirnya kita berjaya menarik gajah berkenaan ke atas sebuah lori," katanya.
Beliau berkata seramai 30 kekuatan daripada Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Terengganu dan Johor serta Perhilitan Terengganu terlibat dalam operasi berkenaan.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata pihaknya akan melakukan pemantauan di kawasan kebun sekitar berikutan dakwaan masih terdapat baki mamalia tersebut.
Terdahulu kehadiran gajah yang mengancam dan merosakan tanaman penduduk itu meresahkan pekebun sejak Mei lalu.
Difahamkan, gajah liar itu mula dikesan memasuki kawasan kebun milik penduduk pada 31 Mei lalu dengan kejadian terbaharu berlaku pada 23 Jun sehingga menyebabkan tiga pekebun menanggung kerugian hampir RM10,000.
Lebih menakutkan terdapat pekebun yang pernah terserempak dengan gajah berkenaan.