"Gajah kopak dinding, tarik keluar tilam lalu memakannya" - Orang Asli Pos Brooke
Bernama
Februari 1, 2023 14:36 MYT
Februari 1, 2023 14:36 MYT
GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di Pos Brooke, di sini mendakwa gajah liar yang berkeliaran berhampiran penempatan itu semakin berani datang hampir ke kediaman penduduk.
Seorang penduduk, Rengil Rajis Angah, 48, berkata minggu lepas seekor gajah bergading masuk ke kampung dan merosakkan dinding sebuah rumah di Kampung Liak.
"Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi apabila gajah mengopak dinding rumah dan menarik keluar tilam lalu memakannya. Ketika kejadian itu anak pemilik rumah sedang tidur di atas tilam tersebut.
"Haiwan liar itu bukan sahaja memusnahkan tanaman tetapi sampai dekat pintu rumah. Kini kami risau untuk ke kebun dan anak-anak pula takut ke sekolah kerana gajah sering dilihat berada di laluan mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Brooke Lama, di sini.
Penghulu Kampung Brooke Lama Rian Bujang berkata kehadiran seekor gajah liar sejak tiga bulan lepas terus menghantui lebih 500 penduduk Orang Asli di tiga kampung di Pos Brooke.
Menurutnya meskipun pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) datang membuat pemantauan, ancaman mamalia terbabit masih tidak berkesudahan.
Rian mendakwa seekor daripada empat ekor gajah tersebut bukan sahaja sering dilihat berkeliaran di kawasan Kampung Kuala Rengil, Kampung Brooke Lama dan Kampung Liak, malah turut memusnahkan hasil tanaman yang diusahakan Orang Asli di kawasan itu.
"Kita harap Perhilitan dapat mengusahakan cara lain untuk memindahkan gajah liar itu bagi mengelakkan ancaman berterusan termasuk membabitkan nyawa penduduk
"Semakin banyak tanaman kami dimusnahkan dan gajah tersebut juga semakin berani masuk kampung," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihaknya mengambil maklum tentang lawatan Perhilitan ke penempatan tersebut pada bulan lepas, namun haiwan liar tersebut tetap muncul dan masih menghantui penduduk.
"Saya berharap agar pampasan dapat disediakan kepada lebih 30 penduduk kampung yang tanaman seperti sayur-sayuran, ubi kayu dan jagung mereka dimusnahkan gajah.
"Ini merupakan sumber pencarian orang kampung dan apabila tanaman dirosakkan maka sumber pendapatan mereka juga terjejas sekali gus menyukarkan lagi kehidupan penduduk," katanya.
--BERNAMA