Gajah kembali ke Kuala Gandah selepas banjir surut
Bernama
Mei 11, 2017 07:29 MYT
Mei 11, 2017 07:29 MYT
Kesemua enam ekor gajah yang dipindahkan ke kawasan tinggi berikutan banjir di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Temerloh dua hari lepas, kembali semula ke pusat perlindungan itu setelah banjir surut sepenuhnya petang tadi.
Ketua Unit Gajah PKGK Nasaruddin Othman berkata kesemua gajah berusia dua hingga 10 tahun itu dibawa ke kandang PKGK kira-kira 3 petang Khamis.
"Sebelum ini, kesemua gajah berkenaan terpaksa dipindahkan ke kawasan lebih tinggi berikutan banjir sedalam lebih satu meter sehingga menjejaskan hampir kesemua kandang haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kesemua gajah berkenaan berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan tanda gangguan emosi semasa proses pemindahan semula ke pusat perlindungan berkenaan, katanya.
Sementara itu, PKGK akan ditutup kepada orang ramai sehingga dimaklumkan kemudian bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penilaian kerosakan dilakukan, yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya semingggu.
-- BERNAMA