Gajah jantan jadi ancaman penduduk ditangkap
Adie Sufian Zulkefli
Januari 12, 2023 18:25 MYT
Januari 12, 2023 18:25 MYT
BALING: Seekor gajah jantan yang menjadi ancaman apabila sering ditemui penduduk berkeliaran di Kampung Telok Temelah, Bongor, di sini, ditangkap pada Khamis.
Jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Kedah berkata, gajah itu ditangkap jam 10 pagi tadi.
“Tangkapan itu dibuat selepas kami menerima aduan orang awam berhubung kehadiran gajah itu yang dilihat berkeliaran sekitar kampung berkenaan sejak beberapa hari ini.
"Gajah jantan liar sama dikesan mula masuk ke kawasan sekitar Kampung Telok Temelah, Kampung Kaki Bukit, Kampung Rambong dan Kampung Telok Sungai Durian sejak Januari tahun lalu lagi.
"Kita percaya gajah ini datang dari kawasan Ulu Muda dan kumpulannya dianggarkan mempunyai populasi antara tujuh hingga lapan ekor," kata jurucakap itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut jurucakap itu, gajah dengan anggaran saiz ukuran lilitan tapak kaki hadapan 43 sentimeter (cm) kini berada dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kedah.
Katanya, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga proses pemindahan sepenuhnya dilakukan.