Gajah ceroboh kebun ditangkap

Sinar Harian
Februari 17, 2022 07:50 MYT
Penduduk di Kampung Jerek, Jeli kembali menarik nafas lega apabila gajah yang menceroboh masuk ke kawasan kebun mereka berjaya ditangkap Perhilitan pada Selasa. -Foto Sinar Harian
JELI: Penduduk di Kampung Jerek di sini kembali menarik nafas lega apabila gajah yang menceroboh masuk ke kawasan kebun mereka berjaya ditangkap pada Selasa.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, gajah berusia 30 tahun dan berat dua tan itu ditangkap Perhilitan Kelantan pada jam 2 petang.
"Operasi menangkap hidupan liar itu dilakukan susulan aduan berterusan yang diterima oleh pihaknya dari penduduk setempat sejak awal bulan ini.
"Siasatan awal mendapati gajah liar itu keluar dari dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, gajah berkenaan didapati keluar dari HSK untuk mencari sumber makanan.
Beliau berkata, operasi pemindahan gajah liar itu akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Pahang dan Pusat Konservasi Gajah Terengganu.
Mohamad Hafid berkata, dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Suria akan digunakan untuk melaksanakan tugas tersebut.
"Gajah liar ini akan dilepaskan semula ke habitat yang lebih sesuai iaitu di Taman Negara Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Pihak kami turut menasihatkan penduduk kampung supaya sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun serta tidak dibiarkan semak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan," katanya.
Menurutnya, langkah mitigasi yang lebih efektif seperti pembinaan pagar elektrik adalah merupakan salah satu kaedah yang paling berkesan untuk menghalang gajah liar memasuki kawasan tanaman pada masa kini.
Beliau berkata, bagaimanapun pemasangan pagar elektrik itu perlu dirujuk kepada Perhilitan untuk kesesuaian bagi mengelakkan sebarang kemalangan terhadap hidupan liar dan orang awam.
*Berita asal di Sinar Harian
#Perhilitan #Kampung Jerek #Mohamad Hafid Rohani #Hutan Simpan Kekal Gunung Basor
;