Gajah Borneo ditemui mati akibat keracunan makanan
Radhi Muslim
April 11, 2020 17:08 MYT
April 11, 2020 17:08 MYT
Seekor gajah Borneo betina ditemui mati di sebuah ladang di kawasan Malua, dipercayai akibat keracunan.
Bangkai haiwan malang itu ditemui mati pada 8 April lalu dan sepasukan petugas Jabatan Hidupan Lair (JHL) Sabah sudah membuat siasatan di lokasi itu pada 9 April lalu.
Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, selepas menerima laporan pihaknya menghantar sepasukan petugas ke lokasi itu pada keesokan harinya bagi menjalankan siasatan.
Beiau berkata, gajah itu merupakan gajah betina dan usia dalam lingkungan usia lima hingga sepuluh tahun.
“Hasil siasatan, tiada kesan luka luaran pada gajah terbabit. Tetapi organ seperti hati gajah terbabit dilaporkan kembung (bengkak).
“Dalam pada itu, turut berlaku pendarahan pada organ iaitu limpa dan buah pinggang gajah terbabit.
“Namun, isi kandungan perut gajah itu didapati normal tetapi terdapat lapisan perut haiwan itu yang turut didapati bengkak (kembung),” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
Augustine berkata, bedah siasat telahpun dijalankan sepenuhnya dan selesai.
“Pihak kami juga ada mengambil sampel gajah terbabit dan dihantar ke jabatan berkaitan untuk dianalisis.
“Setakat ini, punca kematian gajah itu disyaki akibat keracunan makanan dan siasatan mengenainya masih giat dijalankan,” katanya.