Gajah betina mati dilanggar treler

Sharom Abu Bakar
Julai 28, 2019 05:31 MYT
Pemandu treler tersebut gagal mengelak lalu merempuh seekor dari kawanan gajah liar itu. - Foto Astro AWANI
Seekor gajah liar betina mati selepas dilanggar sebuah treler dengan muatan bijih besi dalam kejadian di Kilometer 44, Jalan Kuala Berang-Aring, Terengganu kira kira jam 10.23 pada Ahad malam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika treler berkenaan dari arah Gua Musang sedang menghala ke Pelabuhan Kemaman untuk menghantar bijih besi.
Apabila sampai di tempat kejadian, sekawan gajah liar melintas di laluan terbabit.
Pemandu treler tersebut gagal mengelak lalu merempuh seekor dari kawanan gajah liar itu.
Gajah berkenaan mati ditempat kejadian.
Pemandu treler, Emyhaizi Ahmad, 32, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya dia terpaksa berbuat demikian bagi mengelak daripada terbabas ke dalam gaung.
“Selepas menuruni bukit, saya terlihat sekawan gajah, dalam lima atau enam ekor.
“Pada masa itu, saya tidak dapat berbuat apa-apa kecuali melanggar haiwan berkenaan,” jelasnya.
Bangkai gajah seberat tiga tan itu kemudian dipindahkan oleh anggota Jabatan Perhilitan Terengganu sebelum ditanam di kawasan berhampiran.
#Emyhaizi Ahmad #gajah betina #gajah liar #mati #Mohd Adli Mat Daud #Perhilitan #treler
;