Gagasan MADANI platform Malaysia jadi negara membangun, sejahtera

Bernama
Ogos 21, 2023 04:40 MYT
MADANI bukanlah konsep baharu yang diperkenal oleh Anwar sebaliknya sudah bermula ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 hingga 1998. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gagasan Malaysia MADANI yang diperkenal oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu platform ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa membangun, sejahtera, berdaya saing serta harmoni dalam kehidupan berbilang kaum dan agama.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Madya Mohamed Azam Mohamed Adil berkata MADANI bukanlah konsep baharu yang diperkenal oleh Anwar sebaliknya sudah bermula ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 hingga 1998.
Malah Mohamed Azam berkata konsep itu sentiasa disebut oleh Anwar dalam pelbagai ucapan di persidangan nasional mahupun antarabangsa sepanjang beliau bergiat sebagai aktivis sosial dan ahli politik.
"Jika diteliti, gagasan Malaysia MADANI ini juga berasaskan konsep negara Madinah di mana Rasulullah SAW berjaya menyatupadukan warga Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum bukan sahaja sesama umat Islam (Muhajirin dan Ansar) bahkan juga dengan bukan Islam (Yahudi) melalui Piagam Madinah sebagai satu bangsa," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohamed Azam berkata Malaysia MADANI merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar serta pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
Beliau berkata dakwaan yang mempersoalkan falsafah gagasan Malaysia MADANI juga perlu diperbetulkan semula seterusnya dihayati bersama.
"Ayuhlah kita bersama-sama pimpinan kerajaan hari ini untuk memahami dasar dan falsafah Malaysia MADANI sebenar serta bersatu hati ke arah mencapai masyarakat majmuk Malaysia MADANI yang harmoni dan bersatu-padu," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Malaysia Madani #persidangan nasional #konsep baharu
;