Gagasan Keluarga Malaysia bukan retorik - PM

Astro Awani
Oktober 23, 2021 22:15 MYT
Ismail Sabri berkata, pembangunan sosioekonomi di negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Gagasan Keluarga Malaysia diilhamkan kerajaan mengetengahkan inspirasi sebuah keluarga, bukan retorik atau slogan semata-mata.
Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan semangat diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara yang mengetengahkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.
Mengambil contoh sebuah keluarga, katanya, andai ada dalam kalangan anak-anak lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu tumpuan yang lebih akan diberikan kepadanya.
"Apatah lagi jika ada ahli keluarga kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti kita akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian.
"Begitu juga dalam pentabiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan kerajaan," katanya ketika berucap pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo pada Sabtu.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, pembangunan sosioekonomi di negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan.
Beliau berkata, Sarawak adalah antara enam negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar serta luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.
Bagi tujuan itu, katanya, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan diagihkan kepada enam negeri berkenaan.
"Ia membabitkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Pendekatan sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.
"Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia," katanya lagi.
#ismail sabri yaakob #Keluarga Malaysia #Gagasan #bukan retorik
;