Gagal urus sisa pepejal, Selangor dikhuatiri jadi negeri pembawa virus Zika
Harits Asyraf Hasnan
September 5, 2016 13:27 MYT
September 5, 2016 13:27 MYT
Kegagalan pengurusan sisa pepejal di Selangor dilihat menjadi punca negeri itu tersenarai sebagai negeri teratas dalam penyebaran wabak denggi.
Sehubungan itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menyuarakan kekhuatiran beliau bahawa kegagalan dalam pengurusan sisa pepejal itu juga bakal menjadikan Selangor sebagai negeri utama dalam penyebaran virus Zika.
"Selangor berada di atas sebagai negeri tertinggi kes denggi, jadi sekarang mungkin virus Zika.
"Masalah sampah dan pengurusan sisa pepejal di Selangor makin meruncing. Sebab apa? Ini kerana negeri Selangor tidak mahu terima pakai Akta 672.
"Kalau mereka (Kerajaan Selangor) pakai Akta 672, bermakna kerajaan pusat boleh masuk campur dalam pengurusan sampah di Selangor," katanya selepas menghadiri program turun padang di Taman Medan Cahaya di sini hari ini.
Katanya, kerajaan Pusat terpaksa menarik semula lesen pengurusan sisa pepejal yang dikendalikan Alam Flora di Selangor susulan kengganan kerajaan Selangor mengguna pakai Akta 672.