Gagal urus krisis ekonomi punca tabung persaraan rakyat terjejas - Salahuddin
Hilmi Malik
Mac 19, 2022 21:40 MYT
Mac 19, 2022 21:40 MYT
KUALA LUMPUR : Kegagalan kerajaan untuk meguruskan krisis ekonomi mengakibatkan rakyat berdepan dengan tekanan hidup apabila terpaksa menggadaikan tabung persaraan untuk menjalani kehidupan seharian.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan seharusnya tampil dengan pelan-pelan pemulihan ekonomi bagi memastikan tabung persaraan itu tidak terjejas.
“Amat menyedihkan apabila rakyat terpaksa memecahkan tabung persaraan mereka disebabkan oleh kegagalan kerajaan mentadbir dan merangka dasar yang dapat meringankan beban pasca COVID-19. Kerajaan juga gagal mengawal harga barangan serta kos sara hidup, di samping tiada kenaikan gaji yang dilaksanakan.
“KWSP melibatkan 15.1 juta ahli dengan hanya 7.6 juta ahli aktif. Terdapat sekitar 3.8 juta tenaga buruh yang bekerja dalam sektor informal tanpa memiliki perlindungan sosial seperti KWSP, PERKESO, dan sebagainya. Persoalannya, bagaimanakah dengan nasib mereka yang tiada KWSP? Apakah pelan kerajaan untuk permasalahan ini?” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Selain itu, Salahuddin turut menyatakan, seramai 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
Melihat kepada situasi ketika ini, katanya, keadaan seperti ini seakan-akan memaksa pencarum untuk mengeluarkan kesemua simpanan untuk menampung kos sara hidup.
“Setakat Disember 2021, hanya 27 peratus pencarum yang mencapai tahap simpanan asas. Ertinya, hanya kelompok ini yang mempunyai simpanan mencukupi serta kebarangkalian untuk tidak bersara dalam kemiskinan.
“Pada tahun 2040 kelak, sebanyak 25.4 peratus jangkaan populasi Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas.
“Sementara pada 2060, berlaku peningkatan pada jangkaan ini iaitu 54.5 peratus yang berumur 60 tahun ke atas,” katanya lagi.
Justeru, Ahli Parlimen Pulai itu menegaskan agar kerajaan meneliti semula sistem pencen sedia ada dalam memastikan rakyat tidak tersepit dalam kehidupan menjelang hari tua.