Gagal tagih perhatian suami sedang berniaga, wanita akhirnya kelar tangan sendiri

Astro Awani
Februari 9, 2019 17:08 MYT
Wanita terbabit mengalami dua luka terhiris pada tangan kirinya akibat dipercayai mengelar diri sendiri. - Foto Sinar Harian
Seorang wanita yang dipercayai hilang pertimbangan diri sanggup mengelar tangannya sendiri.
Semuanya gara-gara dipercayai kerana mahu mendapatkan perhatian daripada suaminya.
Lapor Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam tadi di Jalan Sultan, di ibu negara, wanita berusia 34 tahun itu mengalami pendarahan teruk.
Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Lumpur, Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, sejurus menerima panggilan, lima anggota APM Kuala Lumpur bergegas ke lokasi untuk memberikan rawatan awal kepada mangsa.
“Setelah tiba di lokasi dapati wanita terbabit mengalami dua luka terhiris pada tangan kirinya akibat dipercayai mengelar diri sendiri.
“Mangsa kemudian telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, Sinar Harian.
Tambah beliau, daripada maklumat yang diterima, wanita itu mengelar tangannya sendiri kerana suaminya yang berusia 47 tahun itu dikatakan tidak memberikan perhatian kepadanya kerana sibuk melayan pelanggan ketika berniaga.
Difahamkan, ketika kejadian, suami kepada wanita berkenaan sedang berniaga barangan aksesori telefon pintar berhampiran lokasi kejadian. - Sinar Harian
#angkatan pertahanan awam #Hospital #kelar #Kuala Lumpur #mangsa #wanita
;