Gagal selesai tuntutan hampir RM250,000, syarikat milik Zamsaham berdepan sitaan

Bernama
November 1, 2024 19:15 MYT
Menurut Juwita, Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 8 Mei lepas telah memerintahkan agar Norizam yang juga pemilik kelab bola sepak Kelantan FC melangsaikan tuntutan berkenaan dengan segera. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Proses penyitaan aset sedang dilaksanakan terhadap syarikat Unclezam Holdings Bhd milik Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham selepas gagal menyelesaikan baki wang tuntutan berjumlah RM249,675.60.
Pengarah Nita Sahari Properties Sdn Bhd Juwita Mohd Sahari berkata jumlah itu merupakan baki daripada keseluruhan RM999,675.60 pelaburannya ke dalam syarikat Unclezam Holdings pada 2021.
Beliau berkata Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 8 Mei lepas telah memerintahkan agar Norizam yang juga pemilik kelab bola sepak Kelantan FC melangsaikan tuntutan berkenaan dengan segera.
"Mahkamah telah memutuskan bahawa Unclezam Holdings Berhad perlu membayar kepada saya sebanyak RM249,675.60. Jumlah ini merupakan baki daripada jumlah keseluruhan RM999,675.60 (pelaburan) yang telah saya bayar kepada mereka.
"Pembayaran ini berkaitan dengan urusan yang telah disetujui sebelum ini, dan penghakiman mengesahkan hak saya untuk mendapatkan kembali jumlah terbabit," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata cubaan untuk menyerahkan notis sitaan pada awal bulan lepas tidak dapat dilaksanakan berikutan premis Unclezam Holdings di alamat yang diberikan telah disewa oleh syarikat lain sekali gus menegaskan pihaknya akan berusaha untuk memperoleh alamat terkini.
Pada April 2021, Juwita dilaporkan bersetuju membuat pelaburan berjumlah RM999,675.60 ke dalam syarikat Unclezam Holdings milik Norizam, namun menarik diri selepas beberapa bulan kerana syarat pelaburan tidak dipatuhi.
Beliau berkata pembayaran sebanyak RM750,000 telah dibuat, bagaimanapun baki sebanyak RM249,675.60 masih gagal diselesaikan menyebabkannya membawa tuntutan itu ke mahkamah.
-- BERNAMA
#proses penyitaan aset #Zamsaham #baki tuntutan #Nita Sahari Properties Sdn Bhd #Unclezam
;