Gagal patuhi SOP, tapak pembinaan hotel di Kepala Batas diarah henti kerja
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 8, 2021 17:05 MYT
Februari 8, 2021 17:05 MYT
KEPALA BATAS: Kerja pengubahsuaian hotel di sebuah tapak binaan di Persiaran Bertam, Kepala Batas Pulau Pinang dihentikan sementara selepas kontraktor utama gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Notis pemberhentian kerja selama empat hari mulai hari ini dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pulau Pinang hari ini.
Pengarah CIDB Negeri, Zahidi Hashim berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati kontraktor utama turut gagal mengemukakan dokumen dan permit berkaitan pembinaan rumah kongsi di dalam tapak pengubahsuaian hotel terbabit.
Selain itu, mereka juga didapati gagal menunjukkan keputusan ujian saringan COVID-19 yang dijalankan terhadap pekerja warga asing tersebut.
"Memang dari segi pematuhan, pihak kontraktor utama gagal dari sudut SOP yang ditetapkan MKN, dan pihak kami telah keluarkan notis perintah henti kerja dan minta kontraktor tunjukkan maklumat yang diperlukan.
"Dalam tempoh masa itu mereka tidak dibenarkan buat apa-apa aktiviti di tapak bina ini. Kita tak nak aktiviti sepanjang notis ni berlangsung," ujarnya.
Zahidi berkata semasa pemeriksaan di bilik kongsi itu juga pihaknya mendapati ruang yang menempatkan pekerja asing itu tidak selamat dari segi pengudaraan dan persekitaran.
"Tadi kita dah periksa dalam rumah kongsi. Keadaan dalam bilik itu mendukacitakan. Saya rasa dalam bilik mungkin seluas 8x5 kaki, mereka tempatkan sejumlah empat hingga lima orang. Tengok sistem pengaliran udara rasanya memang teruklah.
"Itu antara penyebab boleh berlakunya penyebaran COVID-19 dengan lebih cepat. KKM akan arahkan kontraktor di sini jalankan saringan COVID-19," ujarnya.
Zahidi berkata demikian selepas menyertai Op Khas Pemantauan SOP bersama beberapa agensi penguatkuasaan yang lain di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi itu, seramai 40 pekerja binaan warga asing ditahan untuk pemeriksaan.
Daripada jumlah itu, 11 orang pekerja didapati tidak mempunyai permit kerja yang sah dan mereka diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Noorzainy berkata, jumlah keseluruhan pekerja asing di itu dianggarkan melebihi 100 orang namun kira-kira 60 daripada mereka berjaya melarikan diri ketika serbuan dijalankan.
"Kita menahan 40 orang, terdapat 11 orang yang tiada permit. Kita dapati 50 hingga 60 org telah larikan diri apabila polis dan pihak CIDB datang.
"Secara keseluruhannya kami dapati tapak pembinaan ini tidak mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan tindakan KKM setakat ini adalah mengeluarkan notis amaran kepada majikan kerana gagal pastikan pekerja menjalani saringan COVID-19," kata Noorzainy.