Gagal patuhi SOP, Pasar Bisik Kuala Penaga diarah tutup tujuh hari
Astro Awani
Jun 1, 2020 14:55 MYT
Jun 1, 2020 14:55 MYT
Gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan, menyebabkan Pasar Bisik Kuala Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang diarah tutup selama tujuh hari, bermula Isnin.
Arahan penutupan berkuatkuasa jam 3 petang itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas pemeriksaan mengejut di pasar itu pagi tadi.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata siasatan mendapati, pengurusan pasar masih tidak dapat mempraktikkan SOP dengan baik sejak Mac lalu.
Menurutnya SOP seperti penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran masuk serta keluar pengunjung tidak dilakukan secara terkawal sekali gus memaksa tindakan tegas diambil.
"Pemantauan kita buat sejak sebelum Ramadan mendapati keadaan masih sama dan tiada perubahan membabitkan pelanggaran SOP.
"Premis itu dikehendaki menjalani operasi pembersihan dan sanitasi bagi memastikan tiada sebarang penularan wabak COVID-19.
"Selama tujuh hari, mereka mesti buat pembersihan. Jika berlaku pencerobohan kita akan buat tangkapan," katanya di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, keadaan sedikit tegang apabila kumpulan nelayan yang berada di situ memprotes tindakan penutupan tersebut dan mendakwa mata pencarian mereka akan terjejas.
Pengerusi Unit Nelayan Pasar Bisik Kuala Muda Penaga, Ariffin Mat, 54 berkata beliau terkejut dengan tindakan tersebut namun terpaksa akur dan berjanji akan mengikut arahan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pasar ini kecil berbanding jumlah nelayan yang ramai. Walaupun kita sudah ingatkan supaya semua orang patuhi SOP, tapi masih berlaku," katanya.
#Barang Basah
#berbisik
#bisik
#ikan
#Kepala Batas
#keunikan pasar bisik
#nelayan
#pasar
#pasar bisik
#penaga
#tarikan