Gagal patuhi Akta 446, ramai majikan masih sediakan asrama 'meloyakan'

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 22, 2022 15:05 MYT
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia mendapati, masih terdapat ramai majikan gagal menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk pekerja mereka. - Gambar Astro AWANI
MUAR: Sebahagian besar majikan di negara ini masih gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Mohd Asri Abdul Wahab berkata, ia dibuktikan apabila hanya 40 peratus daripada 48,579 majikan yang diperiksa sejak akta itu dikuatkuasakan pada Februari tahun lepas hingga kini, mematuhi akta berkenaan.
Beliau berkata, menerusi pemeriksaan yang melibatkan lebih 183,000 buah penginapan itu, 1,593 kertas siasatan telah dibuka dan 1,083 daripadanya telah diberikan izin kompaun yang melibatkan nilai RM 12.4 juta.
Katanya, pelbagai alasan diberikan pihak majikan untuk mematuhi akta itu termasuk kononnya sukar mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Bagaimanapun, ada juga majikan yang dikenal pasti sengaja mencipta alasan, sedangkan mereka mengambil sikap sambil lewa dan tidak membuat sebarang permohonan.
“Apabila kita lakukan pemeriksaan kita dapati (pematuhan) boleh capai separuh separuh, maknanya separuh mematuhi dan separuh lagi tidak dan sebab itu kita sentiasa buat hebahan kepada majikan.
“(Kerana) kita berharap supaya jumlah majikan yang tidak patuh itu akan berkurangan yang mana salah satu alasan yang diberikan adalah nereka sukar dapat kelulusan daripada PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengetuai operasi khas penginapan dan asrama pekerja di bawah Akta 446 di Taman Perindustrian, Bukit Bakri, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat juga majikan yang dikenal pasti sengaja mencipta alasan, sedangkan mereka ambil sikap sambil lewa dan tidak membuat sebarang permohonan.
“Saya percaya PBT bersedia untuk bantu majikan, cumanya majikan kena tampil bincang dengan PBT dan juga JTK (Jabatan Tenaga Kerja) barulah perkara berkaitan penginapan ini dapat diselesaikan,” tambah Mohd Asri.
Sementara itu, dalam operasi yang diadakan di dua premis penginapan melibatkan dua buah kilang perabot di kawasan itu mendapati, majikan gagal menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk pekerja mereka.
Selain penginapan yang sempit, jijik dan kotor, majikan juga tidak mempunyai perakuan penginapan terhadap pekerja sehinggakan kesemua pekerja warga asing yang terdiri daripada warga Nepal, Myanmar dan Bangladesh terpaksa berhimpit di ruang yang kecil.
Operasi yang dijalankan kira-kira dua jam itu turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
#Akta 446 #majikan #asrama meloyakan #Jabatan Tenaga Kerja
;