Gagal patuh SOP: Tiga premis diberi amaran, 59 premis diberi nasihat

Harits Asyraf Hasnan
Jun 14, 2020 15:56 MYT
Pada Sabtu, penguatkuasa KPDNHEP telah membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 828 premis perniagaan termasuk peruncit (622), pemborong (175) dan pengilang (31). - Foto Fail Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Sejumlah tiga premis diberi amaran oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akibat tidak mematuhi garis panduan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejumlah 59 premis lagi telah diberi nasihat atas kesalahan sama.
“Sewaktu PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya pada sidang media harian di sini pada Ahad.
Sementara itu katanya, KPDNHEP turut mendapati 2,070 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Ujarnya, pada Sabtu, penguat kuasa KPDNHEP telah membuat pemantaun harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 828 premis perniagaan termasuk peruncit (622), pemborong (175) dan pengilang (31).
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga telah membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi,” katanya.
#ismail sabri yaakob #keselamatan #penjarakan sosial #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #SOP
;