Gagal patuh SOP: Tapak niaga trak makanan jambatan angkat Terengganu diarah tutup tujuh hari

Bernama
Mei 9, 2021 15:48 MYT
Notis perintah tutup premis telah dikeluarkan bagi tujuan menjalankan kerja-kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit di lokasi. - Foto: Facebook/Terengganu foodtruck club - TFC
KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesahkan tapak perniagaan trak makanan di jambatan angkat di sini ditutup selama tujuh hari setelah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan bermula hari ini hingga 15 Mei itu berkuat kuasa di bawah Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Notis perintah tutup premis telah dikeluarkan bagi tujuan menjalankan kerja-kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit di lokasi terbabit.
"Arahan penutupan susulan satu operasi bersepadu yang dijalankan malam tadi melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
-- BERNAMA
#trak makanan #tapak niaga #jambatan angkat #SOP #jabatan kesihatan #COVID-19 #Akta 342 #MBKT #pandemik #sanitasi
;