Gagal pamer tanda harga, alat timbang sukat tidak sah, antara kesalahan peniaga bazar
Bernama
April 27, 2022 20:25 MYT
April 27, 2022 20:25 MYT
KUALA SELANGOR: Gagal mempamerkan harga dengan jelas kepada pengguna dan menggunakan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan adalah dua kesalahan utama yang dikesan dilakukan para peniaga bazar Ramadan di negeri ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, dua kesalahan tersebut adalah antara 80 kes kesalahan dicatatkan sepanjang Op Pantau yang dilaksanakan sejak 3 April lepas.
"Jadi pada pandangan kami, pada masa akan datang, kita akan lebih kerap melakukan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan yang mengawal selia tapak bazar Ramadan, agar dapat memaklumkan kepada para peniaga apa peraturan-peraturan yang ditetapkan pada masa akan datang.
"Selain bazar Ramadan, Op Pantau ini juga melibatkan pemeriksaan dan pemantauan di pasar basah, pasar raya dan kedai runcit," katanya kepada media selepas melakukan sesi walkabout pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 9,364 premis telah diperiksa sepanjang operasi itu selain melibatkan rampasan berjumlah RM81,171 dan kompaun sebanyak RM23,200.
Dalam pada itu, katanya setakat ini sebanyak 60 kes dicatatkan membabitkan peniaga dan pemborong ayam sejak pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum (PHM) bagi ayam dan telur yang bermula 5 Februari lalu.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM15,500 nilai kompaun dikeluarkan melibatkan tiga kesalahan iaitu jualan melebihi harga maksimum (10 kes), gagal guna tanda harga khas (49 kes) dan satu kes tiada tanda harga.
-- BERNAMA