Gagal memotong, warga emas maut digilis treler

Sinar Harian
Mac 9, 2022 07:10 MYT
Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu digilis sebuah treler di Jalan Pelabuhan Barat pada Rabu. - Foto Sinar Harian
KLANG: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas sebelum digilis sebuah treler di Jalan Pelabuhan Barat berhampiran pintu masuk pelabuhan di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 72 tahun dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan sebelum terbabas sejurus tiba di lokasi kejadian sekitar jam 3.20 petang.
"Hasil siasatan awal mendapati nahas berlaku semasa lelaki tersebut dalam perjalanan menuju ke Westport menunggang sebuah motosikal jenis Modenas MR1.
"Mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh dan digilis oleh treler dari arah yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu kren disahkan maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah dialaminya.
Katanya, pemandu treler berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#maut digilis treler #penunggang motosikal maut #Cha Hoong Fong #Jalan Pelabuhan Barat
;