Gagal kuasai bahasa Melayu punca permohonan kewarganegaraan warga emas ditolak - Saifuddin

Hasimi Muhamad
Oktober 23, 2023 13:22 MYT
Saifuddin berkata, penguasaan bahasa rasmi antara yang diteliti oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan ia turut menjadi panduan di negara-negara luar dalam memberikan status kewarganegaraan - Foto Japen
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu bahawa kegagalan melepasi ujian penguasaan bahasa Melayu antara punca kebanyakan permohonan kewarganegaraan dalam kumpulan warga emas, tidak diluluskan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penguasaan bahasa rasmi antara yang diteliti oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan ia turut menjadi panduan di negara-negara luar dalam memberikan status kewarganegaraan.
"Markah tak lulus satu, dan markah lulus ialah lapan. Dia ada penilaiannya (dalam memberikan kelulusan).
"Sekarang ini, yang (dapat markah) dua pun kadang-kadang saya luluskan. Dua ini maknanya, (kita cakap) terima kasih, dia jawab sama-sama. Itu pun kita lulus.
"Sampai kita turunkan kayu ukur sampai ke tahap itu. Ada dalam warga usia lama ini mereka terlalu fasih dengan bahasa asing sampai tidak boleh langsung (bertutur dalam bahasa rasmi), Itu antara kekangan yang kita hadapi, itu pun kita cuba bantu," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Saifuddin menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang memaklumkan bahawa terdapat permohonan kewarganegaraan oleh warga emas tidak diluluskan dan mengambil masa yang lama.
"Saya rasa dua penggal lepas, warga emas yang saya kemukakan sokongan itu, tetapi sampai hari ini tiada jawapan. Saya mohon jawapan, apa salahnya beri kelulusan kepada warga emas yang ingin mendapatkan kewarganegaraan," ujar Wee.
Mengulas lanjut, Saifuddin memohon agar Wee mengemukakan kes tersebut secara spesifik agar beliau boleh meneliti dan membantu menyelesaikan perkara tersebut.
Sementara itu, beliau memaklumkan dalam tempoh 10 bulan pentadbirannya, KDN telah membuat keputusan melibatkan 10,381 permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan, dengan kebanyakan kes melibatkan anak angkat dan anak tidak sah taraf.
Menjawab soalan tambahan Lo Su Fui yang mendakwa lebih sejuta penduduk di Sabah yang tidak memiliki dokumen pula, Saifuddin menyarankan Ahli Parlimen Tawau itu mengemukakan maklumat secara terperinci berhubung dakwaan tersebut.
"Jika ia dalam pengetahuan Yang Berhormat Tawau, kita cari penyelesaian.
"Pertama, dokumen lengkap. Apa maksud lengkap dokumen? Ada sijil pengangkatan (anak angkat), ada sijil kelahiran dan ada permohonan daripada penjaganya.
"Selain itu, ada bukti keberadaan dia... Lengkap yang ini (syarat) tetapi masih ada masalah, beritahu secara spesifik kes itu.
"Ketiga kalau ada kes menang di mahkamah biasanya kes pengangkatan, dia memohon untuk menjadi anak angkat mahkamah boleh selesai dan ada masalah di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), salur terus kepada saya," tambah beliau.
#Dewan Rakyat #Saifuddin Nasution #Kementerian Dalam Negeri #permohonan kewarganegaraan #warga emas
;