Gagal kejar teknologi punca negara Muslim ketinggalan jauh - Dr Mahathir

Firdaus Azil
Disember 19, 2019 16:10 MYT
Tun M: Kita tiada pilihan melainkan berusaha bangun dan memajukan diri sendiri secepat mungkin jika kita ingin memperbaiki segala kekurangan yang melemahkan perpaduan Ummah. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Kegagalan dunia Islam mengikuti perkembangan arus teknologi bukan Muslim merupakan antara faktor mengapa kebanyakan negara Muslim ketinggalan jauh, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) itu berkata, atas sebab berkenaan, orang Muslim di serata dunia merana, dan ramai yang terpaksa bergantung kepada belas ihsan orang bukan Muslim.
“Pada fikiran saya, kita tiada pilihan melainkan berusaha bangun dan memajukan diri sendiri secepat mungkin jika kita ingin memperbaiki segala kekurangan yang melemahkan perpaduan Ummah.
“Kita sendiri telah menyaksikan negara bukan Muslim yang hancur akibat peperangan, akhirnya mampu bangun semula dan menjadi maju, dan akhirnya menerajui negara lain di dunia ini,” katanya sewaktu membuka sesi meja bulat sempena KL Summit 2019, di sini hari ini.
Turut menyertai sesi itu ialah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran Dr Hassan Rouhani, dan ia akan dikendalikan oleh Timbalan Pengerusi KL Summit 2019, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Bercakap mengenai usaha Malaysia dalam mencapai objektif itu, Dr Mahathir berkata, selain rancangan pembangunan negara setiap lima tahun, kerajaan juga telah melancarkan 'Wawasan Kemakmuran Bersama 2030'.
“Ia merupakan dokumen yang menggariskan sasaran dalam sepuluh tahun untuk menstruktur semula ekonomi tenaga buruh berkemahiran rendah negara ini, menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan, di mana rakyatnya akan menikmati taraf hidup yang wajar.
“Pelan tindakan ini adalah komitmen Malaysia dalam mencapai pertumbuhan mampan, selari dengan pengagihan pendapatan yang adil dan saksama, merentasi kumpulan pendapatan, bangsa, agama, serta rantaian bekalan.
“Selain itu, segala usaha pembangunan yang kami jalankan tidak hanya berpaksikan kepada pertumbuhan dan kepentingan ekonomi semata-mata, tetapi ia juga mesti selari dengan kelestarian, pembangunan modal insan, serta pemuliharaan alam sekitar,” jelasnya lagi.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang menghadapi cabaran dari dua arah dalam masa yang sama - untuk menghasilkan plan pembangunan yang strategik, dan memastikan ia kekal relevan dengan arus teknologi masa kini.
Kesimpulannya, Dr Mahathir berkata, kesemua ini merupakan peringatan kepada komuniti Muslim bagaimana mereka sudah jauh ketinggalan, dan harus bekerja keras dua kali ganda untuk mengejar kemajuan itu.
“Jika kita tidak mula mencipta dan membangunkan teknologi kita sendiri, kita akan sentiasa terpaksa mengejar kemajuan negara maju yang lain.
“Sebab itu tiada pilihan lain bagi kita, melainkan mula bekerja, dan saya harap pada penghujung sidang ini, kita akan dapat menghasilkan strategi dan pendekatan yang berkesan,” katanya lagi.
#arus teknologi #Hassan Rouhani #KL Summit #KL Summit 2019 #Mahathir Mohamad #perpaduan #Recep Tayyip Erdogan #Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 #ummah Islam
;