Gagal kawal kemasukan pelanggan, pemilik inap desa dikompaun RM20,000
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 14, 2021 18:06 MYT
Mei 14, 2021 18:06 MYT
KEPALA BATAS: Pemilik sebuah inap desa di Kampung Lembah di sini dikompaun RM20,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ketika serbuan dilakukan pada tengah hari Khamis, lelaki 40 tahun terbabit didapati gagal mengawal kemasukan pelanggan ke dalam premisnya.
Menurutnya, seramai 10 pelanggan yang berada di dalam premis turut dikompaun kerana tidak mengimbas kod QR MySejahtera dan tiada penjarakan fizikal.
"Pemilik premis dikompaun RM20,000 manakala semua pelanggan yang berumur 20 hingga 40 tahun itu masing-masing dikompaun RM4,000," katanya kepada dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu dalam operasi berasingan, dua lelaki berusia 61 dan 66 tahun ditahan di sekatan jalan raya Sungai Nyior, Butterworth kerana cuba merentas negeri dari Sungai Petani, Kedah tanpa surat kebenaran.
Selain itu, kompaun turut dikeluarkan ke atas lima lelaki berusia 23 hingga 35 tahun yang berkumpul di tempat awam di Bagan Ajam, Butterworth tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.
Noorzainy berkata, secara keseluruhannya, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 18 kompaun semalam atas kesalahan gagal mematuhi SOP PKP 3.0 yang ditetapkan.
#PKP
#inap desa
#SOP
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#ismail sabri yaakob
#Sekatan Jalan Raya
#rentas negeri
#surat kebenaran