Gagal kawal diri, proses tekanan dorong tindakan 'bunuh diri' - Pakar
Sahlizah Mohamed
Januari 22, 2019 17:08 MYT
Januari 22, 2019 17:08 MYT
Kegagalan mengawal diri dan ketidakupayaan untuk memproses tekanan mungkin menjadi faktor utama seorang lelaki nekad untuk terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam pagi tadi.
Lelaki berusia 33 tahun itu akhirnya memilih jalan pintas dengan membuat keputusan untuk terjun dari Jambatan Pulau Pinang sebagai penyelesaian atas tekanan yang dihadapinya.
Ketua Pusat Pendidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-kanak Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr. Zainal Madon berkata lelaki berkenaan sebenarnya sudah mempunyai kecederungan untuk berbuat demikian dan mungkin idea itu telah disimpan untuk beberapa ketika.
“Sebenarnya kes di jambatan ini adalah percubaan untuk membunuh diri. Sebenarnya sebelum nak sampai ke tahap itu, dia sudah ada kecenderungan untuk melakukan tindakan sedemikian (terjun).
“Mungkin ia disebabkan oleh banyak faktor luaran lain. Impak daripada diri dia ialah mungkin dia tak dapat nak kawal, tak ada keupayaan untuk memproses semua tekanan ini lalu memilih cara membunuh diri sebagai satu jalan keluar.
““Dalam kes ini, mangsa bernasib baik kerana berjaya diselamatkan. Pada saya, dari segi impak positif, dia telah diberi peluang kedua dan wajar untuk digunakan peluang ini untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik dan bermakna pada masa depan,” katanya.
Dalam kejadian pagi Selasa, seorang lelaki bertindak terjun dari Jambatan Kedua di Pulau Pinang.
Lelaki berusia 33 tahun dan bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat logistik itu dilapor mengalami tekanan apabila isterinya meminta cerai.
Mangsa kemudian mengambil keputusan terjun ke laut sebelum berjaya diselamatkan dengan bantuan bot nelayan yang berada di kawasan itu
Mangsa seterusnya dibawa ke jeti pengkalan Polis Marin di Batu Uban untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang.
#bunuh diri
#Jambatan Pulau Pinang
#jambatan sultan abdul halim muadzam shah
#pulau pinang
#rakam aksi
#terjun jambatan