Gagal elak motosikal lain, pembantu kedai makan maut
Abd Hadi Che Awang
Ogos 22, 2020 13:52 MYT
Ogos 22, 2020 13:52 MYT
Seorang pembantu kedai makan maut selepas motosikal yang ditunggangnya gagal mengelak sebuah motosikal lain yang masuk ke laluan tengah jalan raya secara mengejut berdekatan Balai Polis Tikam Batu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 9.15 pagi itu, mangsa Muhammad Azrun Ridzuan, 26 tahun, dikhabarkan sedang dalam perjalanan dari Sungai Layar untuk ke tempat kerjanya di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah menjelaskan, mangsa sebelum itu gagal mengelak sebuah motosikal, dipercayai ditunggang seorang warga asing, yang telah membelok masuk ke laluan tengah secara tiba-tiba, lalu merempuh motosikal terbabit dari arah belakang.
Akibat pelanggaran, kedua-dua penunggang motosikal tercampak ke atas jalan.
Tambahnya, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman kepada dan dada sebelum disahkan maut di tempat kejadian.
Sementara itu, lelaki warga Bangladesh terbabit hanya mengalami cedera ringan, kata Adzli.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.
#mangsa
#maut
#mayat
#motosikal
#pembantu kedai makan
#polis
#Sungai Petani
#Tikam Batu
#warga asing