Gagal elak kereta rosak di lorong kecemasan, penunggang motosikal maut digilis bas
Astro Awani
Februari 2, 2020 05:20 MYT
Februari 2, 2020 05:20 MYT
Gagal mengelak kereta yang rosak di lorong kecemasan, seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sisi kanan kenderaan terbabit sebelum terhumban di laluan tengah lebuh raya.
Mangsa yang terbaring kemudiannya digilis bas ekspres, manakala motosikalnya diseret sejauh beberapa meter.
Kemalangan berlaku kira kira jam 12.40 tengah malam tadi di kilometer 440.9, Lebuhraya Utara Selatan dari Sungai Buaya menghala ke Rawang.
Dipercayai, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Sentosa ke arah Rawang.
Pemandu motokar yang mengalami kerosakan serta pemandu bas yang membawa 26 penumpang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Paramedik dari Hospital Sungai Buloh yang tiba di lokasi mengesahkan kematian.
Mangsa, Nur Azwein Azrul Hisyam berusia 20 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Kemalangan ngeri itu menyebabkan kesesakan lalulintas sepanjang empat kilometer dari Bukit Beruntung ke Rawang.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
#bas
#Bukit Beruntung
#digilis bas ekspres
#Hospital Sungai Buloh
#kemalangan
#Lebuhraya Utara Selatan
#lorong kecemasan
#mangsa
#maut
#motosikal
#motosikal diseret
#penunggang motosikal maut
#Rawang