Gagal dihubungi rupa-rupanya sudah meninggal dunia

Sinar Harian
Mei 31, 2022 05:45 MYT
Seorang wanita ditemui mati di kediamannya di Kampung Nakhoda, Jalan Nakhoda Kiri, Batu Caves pada Selasa. -Foto Sinar Harian
GOMBAK: Seorang wanita yang menghidap kanser rahim kronik ditemui mati di kediamannya di Kampung Nakhoda, Jalan Nakhoda Kiri, Batu Caves di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, wanita warga asing terbabit ditemui oleh rakannya yang hadir ke rumah tersebut untuk melawat mangsa selepas gagal dihubungi sebelum membuat laporan pada jam 5.20 petang.
"Rakannya telah pergi ke rumah sewa mangsa kira-kira jam 5 petang untuk berjumpa dengan mangsa setelah beberapa kali gagal menghubungi rakannya itu.
"Apabila sampai di hadapan rumah, rakan mangsa telah melihat melalui bahagian tingkap dan mendapati mangsa terbaring di bahagian ruang tamu.
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati rumah tersebut dalam keadaan berkunci.
"Pihak bomba dari Balai Bomba Selayang telah hadir dan memecahkan pintu rumah mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Zainal memberitahu, pasukan perubatan dari Hospital Selayang mengesahkan mangsa yang menghidap penyakit kanser sejak tiga tahun lalu itu mati di lokasi kejadian.
"Barang peribadi mangsa seperti dompet dan telefon bimbit masih berada di dalam simpanan serta tiada sebarang kesan umpil ditemui.
"Siasatan lanjut juga mendapati tiada unsur dan perbuatan jenayah berlaku," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat manakala kematian tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara siasatan dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh berhubung dengan Sarjan Rafidah Abdul Aziz di talian 019-3509963 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#kanser rahim kronik #Kampung Nakhoda #Zainal Mohamed Mohamed #Hospital Selayang
;