Gagal bayar RM9.24 juta, keluarga Altantuya fail notis kebankrapan terhadap Razak Baginda
Bernama
Ogos 29, 2024 17:50 MYT
Ogos 29, 2024 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu memfailkan notis kebankrapan terhadap Abdul Razak Baginda, selepas penganalisis politik itu gagal membayar ganti rugi termasuk faedah lebih RM9.24 juta kepada keluarga berkenaan seperti diputuskan Mahkamah Tinggi pada 2022.
Ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta cucu mereka, Mungunshagai Bayarjargal selaku pemiutang penghakiman, memfailkan notis itu menerusi Tetuan Karpal Singh & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Julai terhadap Abdul Razak sebagai penghutang penghakiman.
Berdasarkan dokumen diperoleh media hari ini, mereka menuntut RM9,248,282.06 termasuk faedah dan kos sebagai wang yang perlu dibayar atas penghakiman muktamad oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember 2022 terhadap Abdul Razak dan tiga individu lain, yang pelaksanaan perintah tersebut tidak digantung oleh mahkamah.
Pada 16 Disember 2022, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan saman difailkan keluarga model itu dan memerintahkan bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak dan kerajaan, untuk bersama-sama membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada keluarga berkenaan.
Hakim itu juga memberikan faedah lima peratus setahun daripada jumlah penghakiman dari tarikh pemfailan tuntutan mahkamah sehingga penyelesaian penuh dan kos guaman RM25,000.
Sementara itu, Abdul Razak memfailkan permohonan pada 15 Ogos untuk mengetepikan notis kebankrapan berkenaan, antaranya atas alasan beliau telah memfailkan rayuan bagi mencabar jumlah ganti rugi diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam saman terbabit.
"Notis kebankrapan ini mengelirukan, tidak efektif, cacat dan salah di sisi undang-undang. Sebelum mengeluarkan notis kebankrapan itu, pemiutang penghakiman tidak membuat apa-apa tuntutan terhadap saya untuk jumlah penghakiman bertarikh 16 Disember 2022," dakwanya.
Pada 4 Jun 2007, keluarga model itu memfailkan saman RM100 juta terhadap Azilah Hadri dan Sirul Azhar, Abdul Razak dan kerajaan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya berkata kematian model itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, dan menuntut pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.
Sirul Azhar kini ditahan di pusat tahanan imigresen Australia, manakala Azilah di Penjara Kajang, menunggu hukuman mati.
--BERNAMA