Gaduh Low Yat: Penulis blog Papa Gomo dibebaskan dari tahanan polis

Astro Awani
Julai 17, 2015 19:20 MYT
Papa Gomo bagaimanapun masih boleh dipanggil atau didakwa di mahkamah bila-bila masa. - Gambar Fail
Penulis blog yang dikenali dengan nama Papa Gomo dibebaskan dari tahanan polis selepas didakwa terlibat dalam insiden rusuhan Plaza Low Yat.
Dia dibebaskan selepas ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun The Star Online melaporkan, peguam Papa Gomo, Ahmad Shuaib Ismail memaklumkan siasatan terhadap anak guamnya masih diteruskan.
Menurut beliau, masih boleh dipanggil atau didakwa di mahkamah bila-bila masa.
BACA: Papa Gomo ditahan mengikut Akta Hasutan
BACA: Gaduh Low Yat: Polis arah tangkap blogger Papa Gomo
Ahmad Shuaib memberitahu, anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan dijalankan.
Beliau bagaimanapun menafikan anak guamnya menyiarkan kenyataan berunsur hasutan di media sosial.
Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papa Gomo ditahan pada Selasa malam mengkut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataannya di dalam twitter.
Beliau dikatakan telah memuat naik gambar seorang lelaki berlumuran darah yang dikaitkan dengan insiden di Plaza Low Yat.
Gambar tersebut kemudiannya didapati bukan gambar sahih yang merupakan kes yang berbeza.
Pada Ahad, pergaduhan tercetus antara dua kumpulan di luar plaza itu selepas seorang pemuda 22 tahun ditangkap pekerja sebuah kedai menjual alat komunikasi kerana mencuri telefon bimbit.
#Ahmad Shuaib Ismail #Low Yat #Papa Gomo #Papagomo
;