Gaduh Low Yat: "Ali Tinju" ditahan mengikut Akta Hasutan

Astro Awani
Julai 14, 2015 15:48 MYT
Dia yang lebih dikenali sebagai "Ali Tinju" ditahan kerana didakwa membuat ucapan bersentimen perkauman di luar plaza itu pada malam Ahad. - Gambar Fail
Polis menahan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom, bagi membantu siasatan berhubung kekecohan di Plaza Low Yat, pada pagi Isnin.
Dia yang lebih dikenali sebagai "Ali Tinju" ditahan kerana didakwa membuat ucapan bersentimen perkauman di luar plaza itu pada malam Ahad.
Penahanan disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad.
Mohd Ali menjadi terkenal pada 2012, apabila dia menganjurkan "senaman punggung" di luar rumah bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga.
Ia sebagai tindak balas kepada peranan Ambiga dalam penganjuran perhimpunan "Bersih" yang menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan, Kementerian Dalam Negeri, KDN, akan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira kaum.
Malah, menurutnya, sesiapa sahaja yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan.
Perkara itu ditegaskan beliau sebagai mengulas insiden isu pergaduhan di Plaza Low Yat.
"KDN buta warna dalam menguatkuasakan undang-undang."
"Sesiapa sahaja yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, KDN, melalui Polis Diraja Malaysia, PDRM telah menjalankan siasatan terperinci terhadap kes pergaduhan melibatkan seorang pengguna dan seorang peniaga di Plaza Low Yat.
"PDRM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang di dapati bersalah tanpa mengira kaum, ini termasuk individu yang mencuri, kumpulan yang memukul dan mana-mana individu pengguna maya yang menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan api perkauman dalam masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.
#Ali Tinju #gaduh KPDNKK #Low Yat #Mohd Ali Baharom
;