Gaduh di Pantai Merdeka, penjaja didenda RM900

Adie Sufian Zulkefli
Jun 22, 2022 17:06 MYT
Tertuduh, Siti Zulaikha Zolkifli, 23, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang penjaja membayar denda RM900 selepas mengaku bersalah mencederakan remaja perempuan di Pantai Merdeka, Rabu lalu.
Tertuduh, Siti Zulaikha Zolkifli, 23, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan kunci kereta ke atas Nurul Najihah Azizan, 19, pada jam 6.22 petang di padang rekreasi Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, 19 Jun lalu.
Berikutan itu, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Preeyaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kejadian pergaduhan berkenaan menjadi tular dan menurut polis ia dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dalam perniagaan.
#kes tular #gaduh di pantai merdeka #mahkamah #penjaja didenda
;