Gaduh di KSAB: 'Polis trafik hanya pertahan diri'

Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 18, 2022 10:50 MYT
Semalam, satu video berdurasi 50 saat dimuat naik seorang pengguna TikTok, memaparkan seorang pemandu treler yang mendakwa dipukul anggota polis.
ISKANDAR PUTERI: Anggota polis trafik yang didakwa bergaduh dan memukul pemandu treler dalam kejadian pergaduhan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini semalam dipercayai hanya mahu mempertahankan diri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata, anggota tersebut sudah membuat laporan polis selepas insiden berkenaan.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota itu sedang menjalankan tugas pemantauan lalu lintas di KSAB.
"Anggota polis trafik itu mendapati treler yang dipandu seorang lelaki berada di lorong kanan yang sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.
"Pemandu treler itu enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan dilakukan, malah dia juga mengeluarkan kata-kata kesat, bertindak membuka pintu dan terus menumbuk muka anggota trafik sebanyak dua kali, sebelum menendang motosikalnya.
"Berlaku sedikit pergelutan antara mereka dan anggota trafik berkenaan cuba mempertahankan dirinya daripada pemandu terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Rahmat berkata, pemandu berumur 48 tahun itu telah ditahan pada hari sama, kira-kira jam 1 petang, di tempat kejadian.
"Satu kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan. Kita akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya hari ini," katanya.
Semalam, terdapat satu video berdurasi 50 saat dimuat naik seorang pengguna TikTok di aplikasi itu memaparkan seorang pemandu treler yang mendakwa dipukul seorang anggota polis.
#polis trafik #Kompleks Sultan Abu Bakar #ACP Rahmat Ariffin #pemandu treler
;