Gadis pulau redah ombak ambil keputusan PT3

Bernama
Disember 19, 2019 19:20 MYT
Lela Sofia (kanan) mengucup pipi ibunya Siti Fatimah Mat Yusof, 49, sebelum menaiki bot di jeti Kampung Pulau Perhentian. - Bernama
Seorang pelajar calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hari ini bertekad meredah keadaan cuaca tidak menentu dan ombak bergelora Laut China Selatan, semata-mata untuk mengambil sendiri keputusan peperiksaan itu, yang diumumkan hari ini.
Menyifatkan cabaran cuaca musim tengkujuh itu seperti 'alah bisa, tegal biasa', Lela Sofia Ameran, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah di Besut, lebih teruja untuk mengetahui keputusan PT3 beliau.
"Tiada masalah nak ambil keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di sekolah naik bot...dah jadi kebiasaan sebagai 'orang laut', sebab masa musim sekolah pun saya selalu balik kampung naik bot setiap dua minggu sekali," katanya yang ditemui di jeti Kampung Pulau Perhentian, di sini.
Lela Sofia adalah antara lapan pelajar berasal dari Kampung Pulau Perhentian, yang mengambil PT3 di sekolah tersebut pada tahun ini.
"Saya tidak mengharapkan apa-apa pun masa ambil peperiksaan PT3, cuma berusaha melakukan yang terbaik sahaja," katanya kepada Bernama.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) di Terengganu bermula 24 Okt hingga Mac depan, yang lazimnya akan menyebabkan berlakunya ribut laut dan ombak besar, menjadikan perjalanan keluar masuk ke pulau berkenaan berbahaya.
Bagaimanapun, cuaca baik hari ini memungkinkan perjalanan pergi dan balik penduduk kampung ke Kuala Besut lebih tenang, berbanding dua beberapa hari lepas di mana berlakunya hujan dan angin kencang, di perairan pulau itu.
Berhubung keputusan PT3, anak bongsu dari lima beradik itu mengakui berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh.
Lela Sofia yang meminati sukan bola sepak itu juga, menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang anggota polis, bagi memenuhi keinginan ibunya Siti Fatimah Mat Yusof, 49.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zakaria Yahya berkata pelajar yang berada di Pulau Perhentian yang tidak berkesempatan hadir ke sekolah, untuk mendapatkan keputusan PT3 akan dihubungi oleh guru masing-masing.
"Kebiasaannya, pelajar Pulau Perhentian ini belajar dan tinggal di asrama SMK Kuala Besut, dan ada juga di SMK Nasiruddin Shah.
"Kita faham kesukaran mereka untuk keluar dari pulau, kerana musim tengkujuh menyebabkan laut bergelora dan ombak tinggi agak berisiko untuk menaiki bot. Bagi memudahkan mereka, keputusan akan dimaklumkan melalui telefon sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA
#gadis pulau #keputusan PT3 #lela sofia #orang laut
;